Stevico dapat "LESEN KELULUSAN US FDA"? Telah di buktikan PALSU!

Sudah pasti anda telah menyaksikan di dalam web pro-stevico; secara terus terang mereka mendakwa produk mereka di luluskan FDA.

FDA? Anda kenal siapa FDA?

Berikut adalah sijil yang di uar-uarkan itu:





















Tentang FDA


FDA bukan agensi tepi jalan. United States Food and Drugs Administration adalah badan yang bukan calang-calang di Amerika. Mereka menyemak segala perkara yang di makan oleh rakyat Amerika. Oleh itu bukan mudah untuk mendapat kelulusan FDA. Boleh makan bertahun-tahun dibuatnya.

Syabas kepada Stevico Direct, syarikat yang ternama ini berjaya melepasi FDA. Benarkah? Atau apakah dia kandungan Sijil itu sebenarnya? Ada sesiapa yang pernah semak?


FDA Registrar Corp

Sijil yang dipamerkan Stevico adalah sijil yang dikeluarkan oleh FDA Registrat Corp. Mereka ini BUKAN FDA. Mereka hanyalah agen yang membantu syarikat yang bukan dari Amerika untuk berdaftar dengan FDA. Sila rujuk website mereka di sini.

Mereka mengatakan:

"Registrar Corp provides Registration, U.S. Agent, and Compliance Assistance for U.S. and Non-U.S. Companies in the Food and Beverage, Medical Device, Drug, and Cosmetics Industries. Registrar Corp assists businesses with FDA compliance. Registrar Corp is not affiliated with the FDA."

Dan jika anda baca sijil itu dengan teliti, ia mengatakan dengan jelas bahawa sijil itu hanyalah satu pengakuan bertulis yang mengatakan syarikat yang disebutkan itu berdaftar dengan FDA. Hanya berdaftar, bukan "lesen kelulusan". Ada beza yang sangat ketara disini.

Bagaimana pun di atas rasa ingin tahu, penulis telah menghubungi pihak RegistrarCorp, yang mempunyai cawangan di Singapura. Saya hanya ingin mengesahkan sijil ini, adakah ianya tulen, atau sebaliknya.

Disertakan di dalam email pertanyaan itu salinan sijil Stevico, alamat syarikat di Jepun dan juga nombor pendaftaran FDA.


Sijil palsu

Dua hari kemudian, email dibalas oleh personel dari Registrar Corp Singapore.

Sijil Stevico adalah sijil Palsu! Palsu!

Tidak pernah terdapat nombor pendaftaran sedemikian, tidak pernah terdapat alamat yang sedemikian!

Tidak percaya? Tolong angkat gagang telefon, hubungi mereka! Sekarang!

Registrar Corp's Office in Singapore (also serving Indonesia & Malaysia)
37 Bin Tong Park
Singapore 269818
Phone: +65-64662851
Fax: +65-64662851
Mobile: +65-94770229
Email: singapore@registrarcorp.com

Jauhilah yang Haram..

Isu halal dan haram bukan isu main-main.

Ah, tidak perlu lagi rasanya di utarakan perkara ini. Semua Muslim tahu.

Babi dan Arak adalah haram. Bahkan barangsiapa yang menyentuh babi, walau tidak sengaja, wajib menyamak. Sentuh haram, apalagi kalau di makan. Begitu kotor dan jijik sekali babi itu.

Begitu juga arak. Setitis arak menyebabkan amalan tidak diterima selama empat puluh hari. Empat puluh! Itu baru setitis! Kalau segelas? Sebotol?


Tetapi bukan itu sahaja

Melayu sangat cerewet didalam bab makan. Kalau di restoran Cina, pasti kaum Melayu tercari-cari dimana Sijil Halal dipaparkan. Kalau ketemu, ah pasti mereka mengatakan halal. Walau tamat tarikh tempohnya, walau China negara yang mengeluarkannya. Itu semua tidak penting. Janji ada logo halal.

Tetapi terkadang kita ini lupa, halal haram makanan yang disuap kemulut kita itu, bukan hanya bersifat syariat. Bukan hanya rupa fizikal yang diambil kira, tetapi cara bagaimana kita memperolehi pendapatan itu adalah sama pentingnya.

Jika hasil pendapatan kita dari rasuah, hukumnya haram. Dari duit judi, haram. Kegiatan merompak, mencuri, juga haram. Dan jika duit itu adalah hasil dari penipuan terhadap orang lain, pasti haram juga hukumnya, waimma dikategorikan di dalam bisnes MLM mahupun Jualan Langsung.

Ingatlah hadis ini:

”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”
(al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Api neraka sahajalah yang layak baginya. Tidak takutkan anda?

Jika dalam keraguan tentang halal atau haram, tinggalkan sahaja. Tinggalkan yang syubhah, kan itu lebih selamat?

Halal? Anda tentukan

Stevico Direct memang hebat. Mereka punyai rekod perniagaan selama 30 tahun. Lihat sahaja produk mereka, ianya memang hebat-hebat belaka!

Stevico mendakwa semua produknya adalah Halal. Mereka punyai Sijil Halal, yang dikeluarkan oleh Persatuan Islam GuangZhou. Guang Zhou?! Bukankan itu nama negeri di China? Jadi produk ini bukan produk Jepun lah? Bolehkah JAKIM terima pakai ke status Halal sijil ini?

Berikut adalah cetakan terus sijil ini dari salah satu blog Stevico yang aktif (kredit kepada tuanpunya blog - alamat tertera pada imej):





Sijil Halal ini sangat meragukan. Yang pertama hanya "Fiber Colest" yang termaktub disahkan Halal oleh Persatuan GuangZhou. Yang lain bagaimana? Sila juga perhatikan tarikh tamat sijil. Tahun bila tu?

Mereka bahkan memaparkan satu lagi sijil Halal, dan kali ini dari Perancis. Anda pernah dengar sijil Halal Perancis? Kalau belum pernah, sila saksikan yang dibawah:



Sijil halal ini bukan main-main. Sijil halal tulen pastinya. Kalau tidak, masakan Stevico menjaja sijil ini kepada prospeknya. Dan bukan satu, bahkan dua. Dua Sijil halal dari negara bukan Malaysia yang belum tentu sahih. Tamat tarikh tempoh lagi.

Tetapi masyarkat Melayu terus menerus membeli dan menyertai program Stevico dengan senang hati. Aduhai Melayu..

Mana boleh beli Stevia? Stevico dan Stevia

Jika ada jiran-jiran anda yang bertanya, " Di mana boleh saya beli Stevia?" Sudah pasti kebanyakan anda bingung dengan pertanyaan itu. Apa itu Stevia? Sejenis kuih kah, atau mungkinkah nama seorang Mat Salleh?

Stevia adalah pokok renik, dan dalam bahasa kita para botani menggelarkannya pokok gula. Daunnya sangat manis, dan jika anda pertama kali mengunyah daun Stevia, anda pasti terkejut. Daunnya sangat manis, manis bukan kerana dibaja gula tapi manis asli yang terhasil dari agen pemanis di dalam daunnya. Maha Suci Allah yang menciptakan pelbagai tumbuhan.

Sudah lama, hanya Malaysia yang lambat

Dek kerana kelebihan kalori-sifarnya, tanaman Stevia sudah lama popular. Di Jepun misalnya, syarikat Morimoto merupakan peneraju teknologi penanaman dan pengekstrakan Stevia. Oh ya, Stevi Co. Ltd (moyang kepada StevicoDirect) juga menegaskan mereka adalah antara peneraju Stevia terawal di Jepun.Dari nama tumbuhan Stevia lah mereka menubuhkan syarikat Stevi Co itu.

StevicoDirect pada hari ini, dengan kemajuan R&D mereka, telah mendakwa menghasilkan tanaman Stevia Generasi ke-8 yang mampu berjejak di lebih 11 negara seluruh dunia, jauh meninggalkan Morimoto sendiri (peneroka terawal yang menemui cara untuk mengeluarkan elemen manis daun Stevia).

Produk Stevia di Malaysia

Sudah pasti pembeli yang dahagakan produk kesihatan (seperti Stevia) mahu menggantikan gula, penyumbang kalori terbesar yang membawa kepada pelbagai penyakit termasuklah kencing manis.

Jangan gusar, terkini di Malaysia, StevicoDirect membawakan anda produk Stevico SweeterMix, suatu adunan mantap stevia dan gula, untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Mana boleh beli?

Jadi jika orang bertanya, dimana ada jual Stevia? Jawablah di Stevico, dan harap-harap orang Malaysia dapat mengurangkan kadar gula mereka, dengan membeli produk Stevico SweeterMix 500g yang dicampur gula (bukan stevia asli) yang berharga sekitar RM 130.00 tunai untuk bukan ahli.

Tetapi mungkin rakyat Malaysia lebih enak membeli gula biasa pada harga RM1.60 sekilo, kerana harganya yang tidak membebankan. Mungkin ada juga yang membeli menggunakan kiraan cupak, pada 80 sen setengah kilo. Jauh berganda-ganda lebih murah dari campuran gula SweeterMix.

Lalu timbul persoalan: agaknya berapa banyakkah kandungan campuran gula didalam pek SweeterMix yang didakwa menyihatkan itu?


Kerja mesti ada lesen..

'Alamak, road block!', secara automatis hati Usop berdegup kencang. Hampir-hampir saja dia sesak nafas melihatkan sekatan jalan raya siang hari di Jalan Ampang.

Sekatan jalan sebegitu sememangnya sangat jarang terjadi. Kerana itulah Usop hanya memandu pada siang hari. Pada malam hari dia tega duduk diam dirumah melayan rancangan hiburan Astro meskipun rakan-rakannya bertalu-talu mengirim pesan ringkas.

Berpeluh Usop didalam kenderaan empat roda berhawa dingin itu. Semakin hampir sekatan itu, semakin dia panik. Seram, takut dan seriau. Semuanya dek kerana lesen memandunya dan roadtaxnya masih dalam keadaan yang tidak diperbaharui.

Tunjuk lesen!
Lesen adalah Undang-undang. Tanpa lesen, anda bersalah. Bersalah memandu tanpa lesen. Bersalah bersekedudukan tanpa sijil nikah. Bersalah membuat ceramah umum tanpa kebenaran.

Dan bersalah jualah, jika anda berniaga tanpa lesen. Apatah lagi jika perniagaan itu perniagaan jualan langsung!

Saya sangat yakin StevicoDirect, atau Oriflame atau apa apa sahaja namanya, sedang dalam usaha memperbaharui lesen AJL mereka. Lesen yang dipamer di laman2 ahli mereka telah tamat tempoh bulan September yang lalu!

Saya sangat yakin kerana syarikat yang berprestij seumpama StevicoDirect, anak syarikat Stevigroup Ltd, tidak mungkin membohongi masyarakat dengan lesen yang sudah tamat tempohnya.

Sumber imej: http://www.makemoney-home-business.com/direct-sales-licence.html

Multinasional?

Pelbagai syarikat multinasional sedang rancak membuat duit di Malaysia. Dari sekecil-kecil bisnes 'trading' sehingga bisnes komoditi jutaan ringgit, ekonomi negara kita sedikit sebanyak dimeriahkan oleh syarikat-syarikat multinasional ini.

Demikian jugalah dengan Stevico. Stevico berada di mana-mana, sebut sahaja negara apa, mereka pasti disana. Amerika, UAE mahupun Perancis, mereka punyai pejabat serata dunia. Dan di Jepunlah ibu pejabatnya, berdasarkan sejarah perkembangan syarikat yang diterajui Dr Kobayashi yang sangat masyhur itu.

Tetapi hairan ya, syarikat yang mengaku multinasional, yang begitu gah, tidak mahu meletakkan sebarang alamat mahupun nombor telefon pejabat antarabangsanya? Kalau benar di Osaka, di ceruk manakah?

Syarikat yang begitu besar, tak mungkin mereka berbohong!












Melihatkan keberadaan mereka, pastilah Stevico ini syarikat ternama. Mungkin setaraf dengan Danone? Atau Nestle? Atau hampir-hampir sahaja seperti Cargill?

Mungkin kerana status syarikat yang begitu gah di persada antarabangsa membuatkan Stevico Direct memutuskan untuk beroperasi di Bayu Perdana, Klang. Agaknya lokasi pejabat di KLCC, The Gardens, KL Sentral atau Menara Rebung Telekom masih belum sesuai dengan taraf mereka.

Siapakah Kobayashi?

Siapakah dia "Pengasas" Stevico ini?

Nama Dr Kobayashi sering digembar gemburkan di setiap laman web berkenaan Stevico. Tetapi yang hairannya Siapakah Dr Kobayashi? Kobayashi adalah nama yang umum di Jepun. Seumpama Osman di Malaysia. "Osman yang mana?" kalau orang kampung ditanya. Kobayashi yang mana, saya bertanya? Kobayashi Setsutaro kah, Kobayashi Akira kah, atau Koji kah? Atau mungkin Utada, tetapi siapa yang dapat pastikan?

Garapan umpama novel di kebanyakan situs pro-Stevico tidak mempunyai latarbelakang mahupun bukti yang jelas. Sesetengahnya memaparkan foto Dr Kobayashi (yang terlah meniggal dunia) tetapi gagal memberikan bukti konkrit terhadap kajian mahupun usaha kaji selidik beliau.

Berikut adalah sampel tulisan tentang Dr Kobayashi (di ambil dari : http://www.stevicodirect.com/philosophy/index.htm)

Simple Beginnings of Dr Kobayashi (1932 - 2007)

Inspired by his university education in France, the 27 years-old Kobayashi decided to recreate his traditions in his new adopted land. After purchasing a steam extractor, a relic from the past, Kobayashi harvested wild Berries and produced Pure Wild Berry Liquid Extract with extreme concentration of the color red and Berry Fragrances, now known as Wild Berry Anthocyanin.

He sold this Natural Berry Extract at local markets to finance his studies and future research, this All-Natural Product was quickly embraced by villagers and Kobayashi’s Stevico brand was born.

Sensuality

Stroll through Tamba Highlands located in suburban Kyoto ‘the birth place of Mr. Kobayashi’, you are struck by the perfect balance in the rich earth colors, it’s scents and beauty of this abundant land. Every day the people of Tamba celebrate their pleasant lifestyle and abundant soil. When Dr Kobayashi formulated our products, he set out to capture this bounty in all our products. Today, more than thirty years later, the fertile South of Tamba remains the sole inspiration for all Stevico products, body nutrient feed, preventive health care, skincare products for women and men, and household products for the home.


Siapakah Sang Kobayashi ini?!



Program terbaru dan terhangat! Buat duit senang! Jana Bonus bulanan RM15,000!

Hanya dengan tajuk sedemikian, orang Melayu berlumba-lumba untuk mengambil bahagian.
Lihat saja situs di mana orang Melayu sering berkumpul di Internet, pasti penuh dengan iklan yang sedemikian rupa.

Tidak salah berniaga, tetapi etika berniaga itu yang dipersoalkan.

Bukankan orang Melayu itu penuh adat? Penuh budi-bicara dan tatacara? Dengan demikian seharusnya 'etika berniaga' merupakan salah satu paksi dalam bisnes Melayu. Tetapi realitinya tidak begitu.

Adat yang sebagaimana yang dipersoalkan disini? Beretikakah jika anda menjanjikan sesuatu yang diluar kemampuan bisnes anda? Beretika kah jika anda memutarbelit fakta? Beretika kah jika anda memanipulasi data, gambar dan statistik?

Nasib Melayu

Orang Melayu suka di gula-gulakan. Suka di manja-manjakan. Suka di buai dengan mimpi-mimpi indah, khasnya mimpi untuk menjadi kaya. Istilah "banyak duit", "buat duit mudah", "bonus meletup" dan sebagainya menjadi hala tuju dan pedoman kebanyakan Melayu. Dan kerana itulah banyak pihak yang mempermainkan kelemahan ini.

Selok belok pemikiran orang Melayu yang banyak kelopongan ini telah menjadi lubuk yang senantiasa memberikan hasil lumayan buat sang pemangsa yang sememangnya arif tentang sikap Melayu.

Pancingnya sentiasa mengena, dari dulu sehingga sekarang. Dan blog ini bertujuan untuk memberi pesan dan nasihat, supaya kita sama-sama dapat manfaat dan kesejahteraan.

Bukan dengki, iri hati jauh sekali hasad, blog ini dengan ikhlas di bangunkan untuk menyedarkan umat Melayu, supaya bangun, celikkan mata, dan bangkit mempertahankan maruah diri dan bangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...